Friday, 2 February 2018

JAMBATAN GIGI / BRIDGED



Bayangkan melihat wajah anda di cermin tanpa gigi hadapan. Sanggupkah anda berdepan dengan orang ramai dengan gigi yang rongak? Jika gigi yang hilang itu di bahagian belakang, ia mungkin tidak menjejaskan rupa tetapi masalah untuk mengunyah pula akan timbul. Apakah pilihan yang ada untuk menggantikan gigi yang telah hilang? Mari kita bincang terlebih dahulu sebab-sebab utama berlakunya kehilangan gigi.
Keadaan gigi sebelum jambatan gigi


Sebelum dan selepas jambatan gigi
Apakah sebab-sebab utama berlakunya kehilangan gigi?
Kehilangan gigi boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor. Misalnya, cabutan akibat trauma, karies yang teruk hingga kehilangan sebahagian besar struktur gigi, penyakit gusi yang tidak terkawal atau pun kegagalan mekanikal seperti gigi retak atau terbelah. Ketiadaan gigi juga boleh terjadi sejak dari lahir disebabkan berlakunya gangguan semasa proses pembentukan.
Apakah pilihan yang ada untuk menggantikan gigi yang hilang?
Anda boleh memilih samada prostesis yang melekat secara tetap atau yang boleh di tanggal. Prostesis yang melekat tetap boleh di sokong samada oleh gigi mahupun implan pergigian. Artikel ini akan hanya membincangkan jenis jambatan yang di sokong oleh gigi asli.
Apakah yang dimaksudkan dengan jambatan pergigian?
Ia merupakan sejenis prostesis yang digunakan untuk menggantikan satu atau lebih gigi yang hilang dengan menyambungkan gigi-gigi palsu dengan gigi-gigi bersebelahan atau pun implan. Implan pergigian merupakan pilihan yang utama dalam rawatan untuk menggantikan gigi yang hilang di negara-negara maju (jambatan pergigian yang dipegang oleh implan pergigian sepenuhnya). Walau bagaimana pun, jambatan pergigian yang disokong oleh gigi tetap digunakan dengan meluas di serata dunia kerana kosnya yang lebih murah
Apakah komponen asas dalam sebuah jambatan pergigian?
  • Pemegang (retainer)
    Komponen pemegang merupakan dua unit korona yang disimen pada gigi-gigi yang terletak di kedua belah sisi kawasan gigi yang hilang sebagai penyokong struktur jejambat tersebut.
  • Pontik (pontic)
    Gigi palsu yang memenuhi ruang gigi yang hilang itu dikenali sebagai pontik. Bergantung kepada bilangan gigi yang hilang serta situasi klinikal, bilangannya boleh jadi satu atau lebih. Pontik bersambung secara tetap dengan komponen pemegang.

Apakah kebaikan-kebaikan jambatan pergigian?
  • Ia merupakan prostesis jenis tetap, yang disimen terus pada gigi tupang. Ia tidak perlu dibuka untuk tujuan pembersihan
  • Tempoh penyesuaian diri yang pendek – jambatan pergigian bersaiz kecil dan juga ringan berbanding gigi palsu boleh tanggal. Ia amat mudah diterima sebagai sebahagian dari gigi asli setelah disimen dalam mulut.
  • Keselesaan untuk mengunyah. Tidak perlu takut berlakunya sebarang insiden yang memalukan di khalayak ramai
  • Prostesis yang amat estetik boleh dihasilkan dengan menggunakan bahan porselin berkekuatan tinggi
  • Jambatan pergigian lebih mudah dan lebih cepat untuk diperolehi (3 kali lawatan)
  • Tempoh hayat dan prognosis yang baik dengan penjagaan harian yang sempurna
  • Jauh lebih murah berbanding implan pergigian
Keburukan jambatan pergigian?
  • Sejumlah besar struktur gigi asli perlu dipotong dan dibuang secara kekal dalam penyediaan jambatan pergigian. Risiko bagi gigi yang telah dipotong untuk mengalami komplikasi pada saraf gigi adalah tinggi. Ia mungkin berlaku sejurus atau beberapa tahun selepas jambatan tersebut disimen. Rawatan endodontik mungkin diperlukan. Ini merupakan sebab utama mengapa prostesis implan adalah lebih baik, kerana gigi-gigi lain terutamanya gigi yang sihat tidak terlibat dalam pengkonstruksiannya. Walau bagaimanapun, masih terdapat jalan untuk membina jambatan pergigian dengan cara yang lebih konservatif seperti dengan memilih rekabentuk margin keliling logam serta logam pada permukaan mengunyah.
  • Pesakit mungkin merasa sensitif pada gigi yang telah disediakan untuk jambatan pergigian. Ia akan surut selepas beberapa hari dengan syarat, jambatan sementara yang baik telah dibuat dan disimen sementara di dalam mulut.
  • Jambatan pergigian memerlukan penjagaan yang spesifik untuknya iaitu dengan menggunakan ‘superfloss’ bagi membersihkan permukaan bawah jambatan. Ini penting untuk mengelakkan kerosakan pada gigi tupang serta tisu penyokong dan memanjangkan tempoh hayatnya.

Jika berminat sila hubungi kami di 018-3739252 | www.mydental.com.my |Facebook : https://www.facebook.com/mydentalcare.official/

No comments:

Post a Comment